Sunday 6 March 2016

2. PENDAHULUAN
            Usul fiqh merupakan satu-satunya manhaj ilmiah untuk mengistinbat hukum syarak. Ia merupakan panduan untuk memahami serta mentafsirkan nas-nas al-Quran  dan al-Sunnah ketika merumus hukum hakam dan mendabit pemikiran mahupun ijtihad. Pentafsiran yang dilakukan adalah yang berkaitan dengan hukum syarak dan hukum-hakam yang dimaksudkan hanyalah hukum - hakam amali bukan hukum-hakam akidah. Perkataan amali bermaksud semua perbuatan termasuk perbuatan hati.
            Di samping itu juga, manhaj bukanlah teknik atau sistem kajian ilmiah sebaliknya ia adalah jalan (al-tariqah) yang akan memandu seseorang pengkaji menemui kebenaran sama ada dalam bentuk berita yang hendak dipastikan kesahihannya iaitu perkhabaran melalui periwayatan yang sampai kepada asal atau isu yang hendak dipastikan kebenaran atau kepalsuan buktinya.Manhaj ilmiah juga adalah suatu ilmu yang telah disaring serta lengkap yang boleh diyakini untuk dijadikan sumber ilmu.
            Syarat manhaj pula ialah ia mestilah yang telah sedia wujud dalam diri manusia iaitu secara semulajadi dalam dasar pemikiran manusia. Ia bukanlah ciptaan dan rekaan kerana jika ia adalah suatu rekaan, maka pasti memerlukan kepada manhaj yang lain untuk memastikan manhaj yang pertama tepat, benar dan seterusnya memenuhi spesifikasi ilmiah. Selain itu, melalui manhaj yang telah sedia wujud ini juga merupakan penyeru atau penyokong kepada pembaharuan dan tidak sewenang-wenangnya boleh dipermain atau mengubah hukum syarak. Maka, asas-asas hukum yang hendak diperbaharui itu tidak akan terhasil dengan dawabit yang yang terikat kemas dan mempunyai manhaj yang mengawalnya.
            Oleh itu, pengenalan terhadap usul fiqh akan diterangkan secara terperinci dalam penulisan ini untuk kita mengetahui kaedah pengistinbatan hukum dengan menggunakan kaedah usul fiqh. Definisi usul fiqh yang meliputi pentakrifan secara Idafiyy dan laqabiyy, mawdu’ usul fiqh, sejarah perkembangan, kaedah penyusunan serta faedah mempelajarinya akan dikupas secara terperinci di dalam penulisan ini.

No comments:

Post a Comment